Wednesday, September 19, 2018

Penerimaan Sumbangan Ikhlas untuk Anak-anak yatim SK Taman Melati

Pihak kami amat berterima kasih kepada sumbangan yang dihulurkan oleh ahli jawatankuasa Surau PV8, Melati Utama yang amat bermurah hati memberi sumbangan sebanyak RM1500.00 untuk diberikan kepada anak-anak yatim di SK Taman Melati bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan ikhlas dari ibu bapa / orang persendirian / organisasi dalam menjayakan program-program yang dirancang untuk murid-murid SKTMKL.


Wednesday, December 6, 2017

~Setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas di tempat baru Ustaz Helmy~

Kami, warga kerja SK Taman Melati ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas di tempat baru kepada salah seorang guru penggerak utama Surau Ar-Raudhah, SK Taman Melati iaitu Ustaz Mohd Helmy bin Abdul Najib yang telah bertukar ke Unit Pengurusan Akademik, PPW Keramat dan memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Wilayah Pendidikan Islam berkuatkuasa 16 Januari 2017.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di SK Taman Melati telah memulakan tugas sebagai guru Pendidikan Islam di sekolah ini sejak 2010.

Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Ustaz Helmy dan terima kasih yang tidak terhingga atas dedikasi dan komitmen yang telah anda curahkan dalam mendidik anak bangsa sepanjang berkhidmat di sekolah ini.

#Selamatmajujaya
#Selamatbertugasditempatbaru
Foto Sktms Kl.

Wednesday, May 11, 2016

Ceramah Sambutan Isra' dan Mi'raj di SK Taman Melati

Pada 6 Mei 2016, pihak SK Taman Melati telah mengadakan sambutan Isra' dan Mi'raj di tapak perhimpunan SK Taman Melati. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yassin dari para pelajar dan para guru SK Taman Melati. Selepas itu, ceramah Sirah Isra' dan Mi'raj telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Aziz bin Disa dari Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ceramah ini disampaikan kepada pelajar-pelajar Islam SK Taman Melati berkisar tentang sirah peristiwa besar Isra' dan Mi'raj serta implikasinya kepada kehidupan Muslim hari ini. Semoga dengan ceramah yang diberi akan melahirkan murid-murid SK Taman Melati sebagai generasi Muslim yang dapat mencontohi akhlak dan keperibadian Junjungan Besar Rasulullah SAW serta para sahabat baginda.

         ~Allahumma Solli Aala Sayyidina Muhammad Wa 'Alaa Alihi Sayyidina Muhammad~







Thursday, February 4, 2016

Majlis Sambutan Maulidur Rasul @ SK Taman Melati

Pada 20 Januari 2016 bersamaan 10 Rabiul Akhir 1437H lalu telah diadakan ceramah Maulidur Rasul Peringkat SK Taman Melati. Pihak SK Taman Melati amat berbesar hati kerana Ustaz Mohd Sufian bin Mohd Isa @ lebih dikenali sebagai PU Sufian sudi meluangkan masa menyampaikan ceramah Maulidur Rasul kepada murid-murid SK Taman Melati.
Semoga dengan ceramah ini, para pelajar terutamanya pelajar-pelajar Islam dapat mencontohi semangat juang Baginda Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian mereka.

   





Setinggi-tinggi tahniah buat warga kerja Surau Ar-Raudhah, SK Taman Melati.

Pada hari Rabu, 27 Januari 2016 telah diadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat KPM yang diadakan di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Dalam majlis ini telah diadakan Anugerah Imarah Surau dan Musolla bagi Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Kebangsaan. Terdapat 56 buah sekolah telah menyertai pertandingan ini dan S.K. Taman Melati telah mendapat tempat ke-6 (saguhati) berupa poster kaligrafi, sijil penghargaan berserta wang tunai bernilai RM300.00 sumbangan dari Bank Islam Malaysia Berhad selaku penaja utama program ini.
Meskipun mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan tersebut, pihak warga kerja Surau Ar-Raudhah tidak akan berputus asa dalam mengembangkan syiar Islam kepada para pelajar-pelajar Muslim SK Taman Melati serta menanam semangat serta mendidik para pelajar Islam agar sentiasa mendekatkan diri dengan ' Rumah Allah' ini supaya dapat melahirkan pelajar-pelajar Islam yang berjati diri Muslim dan berakhlak mulia.